CSO Platform for Reform mengalu-alukan keputusan Dewan Rakyat dalam
meluluskan usul penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ke-15 yang
baharu. Keputusan ini menunjukkan komitmen kerajaan dan parlimen dalam
memastikan proses demokrasi lebih subur dengan adanya peluang bagi wakil
rakyat yang tiada jawatan menteri atau timbalan menteri untuk berperanan
sebagai semak dan imbang kepada pihak Eksekutif. Kami berharap bahawa
jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan dapat memainkan peranan penting
dalam mengawal dan menilai tindakan kerajaan, memastikan integriti dan
ketelusan serta mempercepatkan pembangunan negara bagi kesejahteraan
semua rakyat Malaysia.
Dalam keadaan semasa yang penuh dengan cabaran, penubuhan jawatankuasa
pilihan khas ini amat penting juga bagi memastikan kecekapan dan
keberkesanannya dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan pandemik
COVID-19 dan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diperlukan. Kami juga
mengalu-alukan keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas
Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak
Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi. Kedua-dua jawatankuasa ini
akan memainkan peranan penting dalam memastikan keadilan dan kesetaraan
bagi semua rakyat Malaysia dapat dipelihara dan menjadikan Malaysia sebuah
negara yang lebih inklusif dan adil selaras dengan konsep Malaysia Madani.
CSO Platform for Reform berpandangan bahawa jawatankuasa pilihan khas ini
sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat Malaysia memberikan pandangan,
pendapat dan sumbangan idea terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan
mereka. Selain itu, CSO Platform for Reform juga ingin menyatakan kesediaan
untuk bekerjasama dengan jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang baru ini
dalam memastikan proses demokrasi di Malaysia berjalan dengan lancar dan
telus. Kami percaya dengan adanya penglibatan organisasi masyarakat madani
dalam kerangka ini membolehkan jawatankuasa ini memperoleh maklumat yang
lebih efektif dalam menjadi pengimbang tara kepada setiap kementerian.
Sebagai cadangan penambahbaikan, kami berharap agar jawatankuasa pilihan khas Parlimen ini dapat memberi
lebih banyak ruang dan peluang kepada perwakilan masyarakat madani dan penggiat hak asasi manusia untuk
memberikan pandangan mereka mengenai isu-isu yang dibincangkan di dalam jawatankuasa tersebut. Selain itu,
kami berharap agar jawatankuasa pilihan khas Parlimen ini diberi lebih banyak akses kepada maklumat dan data
yang berkaitan dengan isu-isu yang dibincangkan supaya keputusan yang dibuat adalah berasaskan fakta dan
bukti yang kukuh.
Selain itu, CSO Platform for Reform berpendapat bahawa penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
dengan hanya 9 ahli bagi setiap jawatankuasa adalah satu pembaziran kerana JPKP tersebut masih gagal untuk
menggunakan sepenuhnya ahli parlimen kerajaan dan pembangkan dalam jawatankuasa yang ditubuhkan.
Sekiranya 10 JPKP ini diteruskan, maka terdapat 67 ahli parlimen yang tidak mempunya peranan kerana tidak
menganggotai mana-mana JPKP atau PAC. Oleh itu, kami bersependapat dengan BERSIH untuk mencadangkan
penambahan komposisi ahli parlimen dalam setiap jawatankuasa hingga maksimum 16 orang atau menubuhkan
lebih banyak JPKP bagi memastikan setiap ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat memainkan fungsi dan
peranan mereka di dalam jawatankuasa yang telahpun ditugaskan..
Akhir sekali, kami ingin mengulangi kesediaan kami untuk bekerjasama dengan jawatankuasa pilihan khas
Parlimen yang baharu ini dalam memastikan keadilan, keterbukaan dan kecekapan dalam pelaksanaan
tugas-tugas mereka. Kami percaya bahawa hanya melalui kerjasama yang berkesan antara masyarakat sivil,
kerajaan dan Parlimen, Malaysia dapat mencapai tahap kematangan dan kestabilan politik yang lebih tinggi, serta
membangun sebuah negara yang lebih adil dan sejahtera untuk semua rakyatnya selaras dengan aspirasi
kerajaan melalui pembentukan Malaysia Madani.
Dikeluarkan oleh,
Tharma Pillai, UNDI18, Lead
Ann Teo, ROSE, Co-Lead
Kluster Reformasi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
Nota:
Kluster Reformasi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri merupakan sebahagian daripada CSO Platform for
Reform, satu gabungan 60 badan-badan masyarakat sivil yang memberi tumpuan terhadap pembaharuan
institusi.