KEGAGALAN DALAM MEMPERTAHANKAN HAK ASASI MANUSIA
SEJAGAT MERUPAKAN KEGAGALAN SELURUH SURUHANJAYA
SUHAKAM, BUKAN SAHAJA PENGERUSINYA
CSO Platform for Reform tidak bersetuju dengan pandangan Pengerusi
SUHAKAM, Rahmat Mohamad yang menjelaskan bahawa ‘hak asasi
manusia ialah hak asasi manusia’ apabila ditanya mengenai
kebimbangan terhadap pengamalan hak asasi manusia dalam konteks
Malaysia yang akan mengenepikan kumpulan berisiko, khususnya
komuniti LGBTQ. Walaubagaimanapun, beliau juga menekankan
bahawa tugas Suruhanjaya ialah untuk mengangkat hak asasi manusia
mengikut konteks acuan tempatan.
Kami berpandangan bahawa
kenyataan ini merupakan sesuatu yang merisaukan dan regresif.
Disebabkan acuan tempatan inilah yang telah menyebabkan kita
menderita dalam pelbagai perkara; dan tidaklah menghairankan jika
SUHAKAM akan kehilangan status pematuhan Prinsip Paris Gred A, dan
kehilangan kedudukan antarabangsanya.
Cubaan untuk merangka semula hak asasi manusia mengikut acuan
tempatan bukanlah tugas SUHAKAM kerana kebanyakan ahli politik
suka dengan pandangan yang sempit dan berbahaya ini untuk hak
rakyat di Malaysia. Tugas utama SUHAKAM ialah untuk menaik taraf
perlindungan dan promosi hak asasi manusia di Malaysia sesuai dengan
keterangan Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan mengenai
kebebasan asasi dan piawaian sejagat hak asasi manusia yang diterima
di peringkat antarabangsa.
Pada 3 Julai tahun lepas, CSO Platform telah mengeluarkan satu
kenyataan mengenai keresahan bahawa reputasi SUHAKAM akan
dipersoalkan kerana barisan kepimpinan yang dipegang oleh
pesuruhjaya yang lemah kerana majoriti pesuruhjaya hak asasi manusia
yang dilantik tidak memberikan keyakinan yang kukuh untuk mereka
berupaya mengangkat hak asasi manusia di negara ini. Setahun berlalu,
kerisauan kami kini menjadi kenyataan. Baru-baru ini, Pengerusinya
telah digesa oleh NGO tempatan dan antarabangsa untuk bercuti
susulan siasatan terhadapnya berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan
rasisme.
Suruhanjaya SUHAKAM dibentuk melalui proses membuat keputusan secara kolegial atau kolektif.
Pengerusi tidak mempunyai kuasa veto dan tidak boleh dibenarkan untuk melakukannya. Kegagalan
oleh Pesuruhjaya yang lain untuk bersuara mengenai kedudukan Pengerusi telah menunjukkan
bahawa Suruhanjaya ini secara keseluruhannya telah gagal dalam tugasnya untuk mempertahankan
hak asasi manusia sebagai konsep sejagat untuk semua rakyat di Malaysia. Ini merupakan sebuah
tanggungjawab untuk setiap Pesuruhjaya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk
menyatakan pendirian mereka mengenai sebarang masalah yang ditimbulkan oleh Pengerusi dan
dibolehkan oleh sekumpulan Pesuruhjaya yang berdiam diri.
CSO Platform for Reform, yang merupakan gabungan lebih 60 NGO, mengulangi pendirian kami
untuk menggesa pembaharuan seperti berikut:
Proses pelantikan Pesuruhjaya yang telus dan bebas. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk
merangka proses pelantikan pesuruhjaya SUHAKAM yang bebas, dimana pelantikan semasa kini
dilakukan melalui Jabatan Perdana Menteri.
Kami meminta Dato’ Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang
(BHEUU) Jabatan Perdana Menteri untuk melihat pembaharuan yang telah diusulkan, dan juga
permintaan staf SUHAKAM untuk menyiasat Pengerusi mereka;
Kami juga meminta Pesuruhjaya-pesuruhjaya yang lain untuk menyatakan pendirian
mereka mengenai isu ini; adakah mereka mengangkat prinsip-prinsip hak asasi manusia seperti
yang digariskan dalam UDHR;
Kami menyeru agar kejujuran dan refleksi, jika Pesuruhjaya- semasa yang ada merasakan
mereka tidak berupaya untuk mengangkat prinsip-prinsip hak asasi manusia seperti yang digariskan
dalam UDHR dan dalam mandat SUHAKAM, serta menekankan pendekatan “acuan tempatan”, maka
mereka perlu menimbangkan untuk meletakkan jawatan mereka; dan
Kami juga ingin meminta untuk lebih banyak sesi libat urus yang inklusif dan efektif dalam
pembaharuan institusi dengan masyarakat awam.
Kami juga ingin mengingatkan kepada Pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM bahawa mereka
mempunyai tugas untuk mengangkat hak asasi manusia sejajar dengan Deklarasi Sejagat Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Asasi Manusia dan Bahagian Kedua Perlembagaan
Persekutuan mengenai asas kebebasan sebagai sebuah institusi negara yang diperkasakan dibawah
pengawalan yang bebas. Ini amat penting jika kita ingin memeriksa kerajaan untuk memastikan ia
terus memainkan tugas dan kewajiban utamanya dalam merealisasikan hak asasi manusia untuk
semua.