Platform CSO untuk Perubahan (CSO Platform for Reform) menolak
ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ‘Bersama Memulihkan
Negara’ bertarikh 13 Ogos 2021
Pada penutupan ucapannya semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin memberi jaminan bahawa beliau akan mengambil tindakan yang
terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang
berlaku pada masa ini.
Kami, CSO Platform for Reform - gabungan 90 badan-badan masyarakat madani
yang berpusat di Malaysia yang memperjuangkan reformasi institusi,
menggesa Perdana Menteri (PM) untuk memperkota kata-katanya, dengan
mempertahankan integriti Parlimen, dan jadilah seorang pemimpin yang
berintegriti.
Kami melihat 'tawaran pembaharuan' oleh PM sebagai langkah terdesak demi
menyelamatkan diri mereka, kerana Perikatan Nasional (PN) tidak pernah
berminat dalam kerja-kerja reformasi institusi mahupun membuka ruang
kepada satu perbincangan bermakna dengan badan-badan masyarakat
madani, dan sebaliknya telah membuat banyak keputusan yang tidak adil untuk
menyekat suara dan hak kami.
Tawaran pembaharuan yang telah diusahakan sekian lama oleh kebanyakan
CSO hanyalah satu langkah yang menghina, memalukan, dan merendahkan
kepintaran rakyat.
Kesunyian PN selama 17 bulan memerintah terhadap pembaharuan institusi
amat menyeramkan! Hanya setelah disedari bahawa PM telah sampai ke hujung
jalan, beliau berusaha untuk terus berkuasa, dengan menawarkan reformasi
yang sememangnya tugas dan tanggungjawab yang patut dilaksanakan ketika
memegang tampuk kuasa.
Kekurangan kepercayaan dan amarah rakyat yang semakin meningkat terhadap pemerintahan
PM kian jelas. Justeru itu, kami menyeru Muhyiddin untuk:
1. Melaksanakan reformasi yang dicadangkan dengan serta merta, dan jangan menggunakan
tawaran pembaharuan sebagai umpan untuk mendapatkan sokongan Ahli-Ahli Parlimen;
2. Melaksanakan Undi Percaya sekarang, dan bukan pada bulan September ketika Parlimen
bersidang semula.
3. Jadi seorang yang bijaksana dan jujur, dan letak jawatan.
Kami turut menuntut PM dan kerajaan baharu untuk menepati janji dalam melaksanakan reformasi dari rakyat yang dimulai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, seperti memansuhkan undang-undang drakonian, dan memulakan reformasi seperti pilihan raya pecat wakil rakyat,
kehakiman, pendidikan, GLC, rasuah, kesihatan, wanita dan kanak-kanak , Orang Asal, migran, buruh, pelarian, pencari suaka, orang tanpa kewarganegaraan, diskriminasi kaum dan kebebasan bersuara.
Kerajaan baharu mesti bersedia dengan manifesto untuk memulihkan semula negara kita. Pelan-pelan yang menyeluruh untuk mengatasi pandemik, pelan pemulihan ekonomi, dan reformasi institusi yang berkaitan, termasuk reformasi yang disebutkan oleh PM, khususnya mengenai mekanisme Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat atau mana-mana mekanisme untuk menghalang MP/ADUN lompat parti untuk jawatan dan kuasa, pendanaan politik, Undi18 dan daftar pemilih
automatik, dan hentikan semua bentuk pendakwaan terhadap pengkritik kerajaan.
Tan Sri PM, jangan tawarkan kembali pembaharuan institusi kepada rakyat, kerana inilah kerja-kerja yang telah dilakukan semenjak PRU14 oleh CSO Platform for Reform tanpa kenal lelah, dan yang sepatutnya dilaksanakan sebagai perdana menteri ketika berkuasa, walaupun membentuk
kerajaan dengan cara yang tidak demokrasi.
Pertukaran perdana menteri tidak akan menjejaskan kerja-kerja pengurusan pandemik COVID-19 seperti yang dimomokkan oleh PM dan beberapa ahli politik. Ini jelas merupakan taktik untuk menakut-nakutkan rakyat dan rakyat tidak percaya dengan momokan ini. Ya, pemerintah mesti bermula dengan integriti dan berakhir dengan integriti. Apabila anda memulakan tanpanya, maka anda telah dikompromi hingga ke penghujungnya.