Kerajaan telah mengumumkan pelantikan pesuruhjaya SUHAKAM bagi sesi 2022
sehingga 2025 yang berkuat kuasa pada 22 Jun lepas.
Anggota baharu adalah seperti berikut:
1. YBhg. Prof. Dato’ Dr. Rahmat bin Mohamad
2. YBhg. Prof. Dato’ Noor Aziah binti Mohd Awal
3. YBhg. Dato’ Hj Mohamad Nordin bin Ibrahim
4. YBrs. Dr. Chew Chee Ming (Sarawak)
5. YBhg. Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah)
6. YBhg. Dato’ Hasnal Rezua Merican bin Habib Merican
7. Puan Nazira binti Abdul Rahim
8. Encik Ragunath Kesavan
SUHAKAM ditubuhkan 22 tahun lalu untuk memainkan peranan yang penting
dan bertindak sebagai sebuah badan pemantau bebas yang selaras dengan
Prinsip Paris Antarabangsa PBB. Selama ini, Suruhanjaya telah berusaha untuk
meningkatkan keberkesanannya untuk menjadi lebih kukuh dan lebih baik
dalam mengendalikan operasi dan fungsinya.
Menjayakan hak asasi “untuk semua” merupakan tugas dan kewajiban utama
kerajaan. Ini merupakan fungsi sebuah badan bebas dan berani seperti
SUHAKAM dalam memantau dan memaklumkan kerajaan dan rakyat tentang
perkembangan hak asasi di Malaysia.
Proses pelantikan merupakan detik permulaan yang paling penting untuk
memastikan pesuruhjaya yang terbaik diberi mandat untuk mengendalikan
SUHAKAM. Pengumuman oleh kerajaan PM Ismail Sabri beberapa hari lepas
memberi satu kejutan kepada CSO Platform for Reform. Majoriti nama baharu
yang dikemukakan tidak memberi keyakinan dalam kalangan badan masyarakat
madani (CSO) di Malaysia dalam menegakkan prinsip Hak Asasi Manusia
Sejagat untuk semua rakyat di Malaysia.
1. Pengerusi baharu, Dr. Rahmat bin Mohamad, penulis bersama satu
kertas kerja yang menolak ratifikasi Statut Rom dan ICERD. Beliau
merupakan salah satu daripada empat ahli akademik yang meyakinkan
Majlis Raja-raja untuk menolak Statut Rom. Situasi ini tidak selaras
dengan mandat SUHAKAM dalam menasihati kerajaan mengenai
ratifikasi perjanjian. Turut mengejutkan juga adalah Pengerusi sebelum
ini yang mempunyai pengalaman yang baik dalam hak asasi manusia
dan diplomasi antarabangsa tidak dikekalkan. SUHAKAM kehilangan
seorang individu yang mempunyai pengalaman baik dalam bidang ini.
2. Dato’ Hj Mohamad Nordin bin Ibrahim ialah bekas Ketua Pengarah JAKIM (2018 - 2019), dan
beliau menafikan hak LGBTQI+ dengan membatalkan persidangan jantina dan seksualiti di
Kuala Lumpur. Kumpulan LGBTQI+ sudah lama mengalami diskriminasi di Malaysia.
3. Perdana menteri menyatakan pelantikan ini adalah inklusif namun realitinya adalah tidak
sedemikian. Terdapat dua Pesuruhjaya yang merupakan ahli politik yang aktif dalam UMNO.
Puan Nazira binti Abdul Rahim ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu
manakala Dato’ Hasnal Rezua Merican bin Habib Merican ialah Timbalan Ketua UMNO
bahagian Selayang. Kami mahukan individu bebas yang boleh melaksanakan fungsi mereka
dengan baik.Ahli parti yang aktif pastinya tidak sesuai dalam pelantikan ini.
4. Semakan ringkas ke atas Dr Chew Chee Meng (Sarawak) menunjukkan bahawa beliau adalah
pakar bius, tidak mempunyai latar belakang dalam bidang hak asasi manusia di Malaysia,
selain daripada kerjayanya dalam perubatan. Ini adalah satu perbezaan yang amat ketara
berbanding dengan Pesuruhjaya sebelum ini iaitu Dr Madeline Berma, yang telah mewakili
Sarawak dan SUHAKAM dengan cemerlang, dan merupakan seorang yang dikenali dan
dihormati di kalangan ahli akademik, kerajaan negeri dan persekutuan, dan juga badan
masyarakat madani.
CSO Platform for Reform mahukan maklumat terbuka mengenai proses pemilihan tersebut bagi
memastikan sama ada kriteria berikut dipenuhi dalam pelantikan Pesuruhjaya:
Latar belakang berwibawa yang mampu menggalakkan, mempertahankan dan melindungi
hak asasi manusia di Malaysia. Perkara ini termasuk menitikberatkan calon yang terbukti
mempunyai rekod kepakaran dalam bidang yang berkaitan (contohnya, pengalaman kerja,
penerbitan dan pencapaian lain berkaitan dengan isu dan masalah hak asasi manusia).
Pemilihan yang melibatkan senarai yang pelbagai dan inklusif dari aspek kepakaran dan
perwakilan, bukan hanya individu yang mempunyai latar belakang undang-undang.
Memandangkan proses tersebut tidak telus, sudah tiba masanya untuk mempunyai
mekanisme bebas untuk pelantikan Pesuruhjaya SUHAKAM yang merangkumi parlimen
dan/atau individu bebas yang boleh menambahkan keyakinan dan bukannya diselubungi
kerahsiaan yang mencurigakan dari titik permulaannya, tanpa memberi apa-apa maklumat.
Berapa ramai yang terpilih, siapa yang disenarai pendek, apakah kriteria yang digunakan
dan siapa yang dipilih sebagai Jawatankuasa Pemilihan dan apakah kepakaran mereka
terhadap badan ini? Kami mengesyorkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Parlimen memainkan
peranan penting dalam memulakan mekanisme yang lebih bertanggungjawab dan
mengamalkan modal amalan terbaik seperti Indonesia di mana proses mereka adalah ketat
dengan banyak penglibatan penelitian awam.
Kesimpulannya, SUHAKAM sebagai satu badan bebas yang memegang tanggungjawab utama bahawa
hak asasi manusia di Malaysia tidak boleh dikompromi walau apa jua kos yang bakal ditanggung oleh
kerajaan serta hak asasi manusia adalah dimiliki semua orang di Malaysia dan bukan hanya kepada
segelintir yang diberi keistimewaan oleh majoriti yang berkuasa di negara ini.
Sebelum ini, Pesuruhjaya mempertahankan akreditasi status SUHAKAM dengan baik, dan kami
khuatir ia akan terkesan oleh kumpulan pesuruhjaya lemah yang dilantik. Kami memohon untuk
elakkan kemunduran dan menambahkan keaiban dalam rekod hak asasi manusia yang penuh
cabaran di Malaysia dan peringkat global. Kita tidak mampu berdiri dengan bangga dalam Majlis
Hak Asasi Manusia PBB sambil berhadapan dengan situasi politik domestik yang lemah sehingga
menjejaskan hak asasi manusia di Malaysia.
Kami menuntut jawapan daripada kerajaan ini terutamanya daripada Perdana Menteri dan Menteri
serta semua penasihat khasnya.