CSO Platform for Reform mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli
parlimen Malaysia kerana telah mengundi secara serentak untuk
menghapuskan hukuman mati mandatori pada sesi kedua mesyuarat
parlimen ke-15 pada 3 April 2023. Usaha beberapa pertubuhan masyarakat
sivil yang telah bekerja untuk pembaharuan ini selama bertahun-tahun
untuk mendesak penghapusan ini juga mesti dipuji.
Moratorium ke atas hukuman mati telah dilaksanakan sejak 2018. Sekarang,
keputusan ini bergantung kepada undi ahli senat untuk memaktubkan
pembaharuan ini, dibentangkan kepada YDPA untuk restu diraja, dan
digazetkan untuk pelaksanaan.
Menyusul pembaharuan bersejarah ini, CSO Platform for Reform menyeru
kerajaan Madani dan badan perundangan secara amnya untuk meneruskan
pendirian progresif mereka terhadap pembaharuan yang belum selesai
seperti pemansuhan SOSMA dan undang-undang zalim lain, meminda Akta
Perhimpunan Aman (PAA 2019), melaksanakan Rang Undang-Undang
Pendanaan Politik, menempatkan SPRM di bawah Parlimen,
membentangkan IPCMC sebagai pilihan yang lebih baik dan terangkum
berbanding IPCC, serta lain-lain lagi.
Kami juga menegaskan bahawa adalah penting bagi kerajaan untuk
mempercepatkan wacana, bengkel, dan keterlibatan pertubuhan
masyarakat sivil mengenai pembaharuan institusi. CSO Platform for Reform
sebagai sebuah gabungan 60 NGO dengan penglibatan ahli-ahli yang telah
bekerja mengenai pelbagai isu pembaharuan, baru-baru ini
mengeluarkan "Laporan 100 Hari Pertama Kerajaan Perpaduan", juga ingin
berkongsi kepakaran kami supaya lebih banyak lagi pembaharuan institusi
dapat dilaksanakan seperti keputusan pemansuhan hukuman mati yang
bersejarah ini.
Dikeluarkan oleh
Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform